Wednesday, December 22, 2010

Yang Pertama Tidak Semestinya Yang Terindah



Setiap dari kita, tentunya ada banyak pengalaman yang pertama. Pertama kali ke sekolah. Pertama kali ke dusun buah-buahan. Pertama kali jatuh cinta. Pertama kali dilukai. Pertama kali bernikah. Pertama kali kehilangan orang tersayang. Dan macam-macam lagi 'yang pertama'.



Kata orang, tanpa yang pertama, mustahil ada yang terakhir. Tanpa langkah pertama, mustahil ada langkah yang ke seribu. Tanpa yang pertama, mustahil ada yang kedua.



Kata orang lagi, yang pertama selalunya yang terindah. Yang pertama selalunya paling kemas dalam ingatan. Yang pertama selalunya sangat sukar untuk dilupakan.



Kata orang lagi, luka yang pertama adalah luka yang paling dalam dan paling sukar untuk disembuhkan, walaupun tidak berdarah, namun pedihnya menusuk kalbu menikam jiwa dan sabubari.



Hebatnya penangan pertama. Ada orang sanggup berkorban apa saja demi memastikan 'yang pertama' sentiasa kekal dalam genggamannya. Ada orang sanggup mengharungi lautan api demi pertahankan yang pertama. Sungguh, yang pertama selalunya mempunyai kuasa yang sangat luar biasa.



Persoalannya. Mengapa? Apakah keistimewaan dan keajaiban yang ada pada 'yang pertama'?



Adakah kerana kemampuan otak kita yang terbatas? Cuma mampu menyimpan kemas memori untuk kali pertama sahaja? Kemudian seterusnya adalah caca merba? Atau kerana kita terlalu menyayangi memori yang kita cipta, menyimpannya kukuh dalam ingatan dan enggan menerima memori yang baru? Atau kenapa?



Misteri yang hanya mereka yang berkenaan, dan Allah sahaja yang tahu..



Mencipta kenangan terindah sememangnya sukar namun untuk mengekalkan keindahannya ternyata jauh lebih sukar. Oleh itu, kita sering memandang kebelakang, mencari yang pertama sehingga kerap mengenepikan yang lain-lain walaupun berkemungkinan, yang kedua atau ketiga jauh lebih baik dari yang pertama.



Mencari pelangi pertama yang pernah kita tatap, kononnya itulah pelangi paling indah yang pernah kita nikmati tanpa mempedulikan pelangi-pelangi lain yang jauh lebih menawan. Hanya kerana ia adalah yang pertama.



Indah dan bahagia menjadi yang pertama, namun suratan Ilahi tidak selalunya menjanjikan kebahagiaan buat kita. Di dunia ini kita adalah pengembara, yang berjalan merentasi masa. Bermulanya kita seorang bayi, kemudian mendekati mati yang kita sendiri tidak tahu di mana garis akhirnya. Dalam hidup ini, ada suka dan duka. Ada pahit dan manis. Firman Allah, di sebalik kesusahan ada kesenangan. Oleh itu, bersyukur dan hargailah apa yang kita miliki hari ini.



Mungkin 'yang pertama' pernah kita kecapi tidak semanis madu, namun bersyukurlah kerana ramai lagi insan lain yang mengharungi 'yang pertama' dengan air mata dan darah. Andai yang pertama kita indah, berwarna-warni ibarat pelangi, maka bersyukurlah dan hargailah setiap dari anugerah pemberian-Nya, kerana kita tidak tahu, apa yang menanti kita pada esok hari.



Yang pertama tidak semestinya yang terindah, namun, apa yang ada dalam genggaman kita hari ini adalah anugerah dan pemberian dari-Nya, maka, hargailah dengan sebaik yang mungkin, kerana esok, belum tentu lagi ia menjadi milik kita...



Dengan lafaz bismillah. Moga Allah kurniakan yang terbaik buat kita, bukan hanya untuk di dunia, tapi juga di akhirat, insyaAllah.



Thursday, September 30, 2010

Sejak aku di dunia ini, aku....

Sejak aku didunia ini, aku...

Leka dengan dunia kepalsuan,
Leka bermain dengan kematian,
Leka kejar mengejar karun kerugian,
Leka bersama manusia bukan insan

Sejak aku didunia ini, aku...

Kecewa dengan kejadian ciptaan,
Kecewa dengan ketentuan,
Kecewa dengan keredhaan,
Kecewa dengan hak kemanusiaan

Sejak aku didunia ini, aku...

Sedih meratapi kejayaan,
Sedih meratapi kekurangan,
Sedih meratapi suapan,
Sedih meratapi segala kurniaan

Sejak aku didunia ini, aku...

Pernahkah mencari nur kesetiaan,
Pernahkah meruntun kesalahan,
Pernahkah kembali ke jalan kebenaran,
Pernahkan insaf dengan kelekaan

Ampunilah segala kealpaan,
Maafilah kesalahan,
Moga aku berjalan diatas jalan kebenaran...

Wednesday, September 29, 2010

Duka Seorang Pendosa

Malam itu malam yang biasa.
Sepi seperti sentiasa.
Tanpa suara tanpa kata.
Sendirian aku menghitung dosa.

Di situ aku duduk bersimpuh.
Menadah ke dua tangan menatap jauh.
Airmataku berguguran mengalir jatuh.
Menginsafi diri tak kenal erti jenuh.

Oh Tuhanku yang Maha Esa.
Aku hamba-Mu yang hina.
Sering lupa, selalu alpa.
Tak pernah jemu membuat dosa.

Wahai Tuhan yang Maha Pengasih.
Apakah aku insan terpilih?
Pernah jatuh kembali bertatih.
Akankah bahagia sesudah bersedih?

Wahai Tuhan yang Maha Agung?
Rahmat-Mu luas memayung.

Hanya ampunan-Mu aku dambakan.
Hanya redha-Mu aku harapkan.

Pipi basah disirami airmata.
Duka sengsara seorang pendosa.
Mengharap ampunan dari Yang Esa.
Moga dikasihi dikurniakan redha.

Oh Tuhanku Allah.
Hanya Kau yang aku sembah.
Hanya pada-Mu aku berserah.

Wahai Tuhan.
Kurniakanlah aku ampunan.
Biar ringan segala beban.

Wednesday, July 14, 2010

Tika Dia Pergi....



Ketika dunia masih berkabus.... dia pergi meninggalkan ku...

Gerimis turun kesedihan. Lalu aku beredar meninggalkan pulau kecewa.
Menaiki biduk kecil tak bertuan. Membelah ombak yang menggulung hiba...
Mencerai percikan air dengan tubir pendayung duka.
Tanpa disangka, kemudiku patah dan aku tersadai.
Terkandas di pulau tak bernama. Lalu kunamakan ia Pulau Sepi....

Aku terdampat di pulau ini. Sunyi dan terus menanti.
Mangharap muncul seorang yang akan membawaku pergi.
Lama aku di situ, bermain sendiri.
Yang menyanyi untukku adalah alunan angin di celah pepohon...
Yang menyapa tubuhku adalah bayang-bayang tidak berisi.
Tiada suara, tiada bahasa yang dapat kufahami....
Hanya ada desir dan gemersik..
Aku jadi bisu.

Seawal berada di pulau itu, aku fikir diri akan buta.
Pendengaranku akan hilang perlahan-lahan.
Akal waras ku akan tumpul kewajaran
Sehingga jasadku akan mengering dan aku mati kelaparan
Saat itu aku merasakan kaki dan tangan kian kaku
Saraf-saraf di tubhku hilang rasa, arteri-arteri yang meluru ke jantungku seakan terputus.

Lalu aku membuka kembali simpulan janji, aku satukan hati
Aku tahu aku perlu terus hidup
Terus menjaga diri sendiri agar tak mensia-siakan setiap peluang kehidupan yang ada
Aku cuba mengingatkan diri tentang masa depan, tentang harapan
Aku perlu berteguh walau apa jua keadaan
Aku cuba mengingatkan diri, di sisi insan ada Tuhan…
Ada kuasa yang sentiasa mendengar dan melihat
Yang menghidupkan dan mematikan, yang merosakkan dan menyuburkan
Yang mengawal segalanya…
Perlahan aku menemukan kekuatan

Darah kembali mengepam jantungku
Saraf-sarafku mencucuk kesakitan dan aku mengaduh
Deriaku kembali mencicip rasa,
Memaksa aku bangkit dan mencari sesuatu untuk meneruskan kehidupan
Tubuh lemah ini ku gagahi untuk bangun, aku harus berbicara….
Tidak boleh membiarkan diri sendiri menjadi bisu

Entah mengapa, pemergiannya buat ku kesal…
Baharu aku tahu, dia sangat istimewa…
Walaupun dia cuma singgah seketika di sanubari,
Namun figurnya telah bermukim di lubuk hati
Dia seolah kekal di situ walaupun takdir menyatakan dia telah pergi…

Friday, June 4, 2010

Aku Jatuh Cinta....

Ya Allah...

Aku jatuh cinta pd insan yg kau ciptakan. Dan apa yg aku lakukan pd cintaku? Aku tidak mampu menguruskan ia sehingga aku semakin jauh dr cintaMu....
Aku hanyut terleka dengan keindahan perasaan yg ku cipta sndiri...
Imanku semakin merintih pedih ya Allah, aku semakin gersang mencari jalan keredhaanMu. Akal warasku terluka dengan perbuatan hati & nafsuku...

Aku tidak mampu menguruskan cinta ini ya Allah... sehingga aku terlanjur melafazkannya pd insan yg belum halal di sisiku. Sehingga saat ini aku merasa bgitu memerlukannya...

Aku takut ya Allah...
Aku takut andai aku menyayanginya lebih dari aku menyayangiMu...
Aku takut jika aku terlalu mengejar cintanya sehingga ku terlupa dengan batas syariatMu...
Aku takut jika aku memerlukannya lebih dr aku memerlukanMu...
Aku takut jika aku terlalu mengharapkannya sehingga aku lupa Kaulah yang menentukan takdir hidup dan jodohku...

Ya Allah...
Kenapa dia yang selalu pertama muncul dalam fikiranku? Apa yg sedang aku lalui sebenarnya tika ini ya Allah...
Mengapa semua perasaan ini hinggap di hatiku. Aku tidak dapat meletakkan Engkau yang pertama di hatiku. Bantulah aku ya Allah. Bantu aku untuk menanamkan cintaMu di hati ini meski cinta itu sungguh payah kumiliki, sungguh payah untuk kuselitkan ke dasar hati... aku tidak mahu taqwaku diragut kerana aku mencintainya.

Suara hatiku semakin merintih cintaMu..
Tatkala hening malam ku sujud kepadaMu, ampuni aku ya Allah...
Ampuni aku kerana terlalu mencintainya...
Ampuni aku kerana terlalu menyayanginya...
Ampuni aku kerana terlupa untuk berserah kpd Mu...
Aku terlalu takut untuk kehilangan insan sepertinya..