Sunday, November 1, 2009

Sendiriku Jalani Sepiku...

17 Oktober…. Genap 7 tahun pemergiannya. Dia meninggalkanku, membawa segenap jiwaku, meragut sebahagian kebahagiaan zaman kanak-kanak ku. Kerana pemergiannya, aku lalui denai kehidupanku dengan kesedihan, aku merentas batas waktu ini dengan kekosongan. Ku pandang kehidupan ini dengan bertabirkan bayang-bayang kenangan bersamanya.

Namun…

Pemergiannya membuat aku lebih menghargai makna hidup ini…

Pemergiannya mengajarku betapa hidup ini terlalu singkat untuk sekadar ketawa…

Mengajarku tiada apa yang kekal selain-Nya..

Mengajarku betapa pentingnya menghargai insan-insan yang masih ada di sisiku,

Mengajarku mengharungi kesepian dalam bersendirian…

Memercikkan segenap ketabahan ke dasar hati..

Membantuku bangun semula dengan segala kekurangan yang kumiliki…

Aku pernah menyesal…

Aku menyesal kerana tidak menghargainya sewaktu hidupnya…

Aku menyesal kerana tidak pernah berusaha menjadi insan terbaik di sisinya…

Aku menyesal kerana memandang ringan saat-saat terakhir bersamanya…

Saat-saat terakhir aku menatap wajahnya…

Aku tidak dapat menerima pemergiannya saat itu..

Lakaran wajahnya di saat terakhir aku memandangnya masih utuh di sanubari,

Dingin di saat terakhir aku mengucup dahinya masih terasa sehingga kini..

Dan masih terpalit kesedihan yang ku rasa sewaktu sekujur tubuh itu pergi bersemadi di lahadnya…

Dan kini…

Aku belajar bangun dari segenap kesepian,

Meski kini kuakui tiada insan yang dapat menggantikan tempatnya di hatiku..

Tiada lagi insan yang mampu menjadi pendengar kepada setiap luahan kepiluan hatiku

Dan setiap episod kehidupan yang kulalui, kuharungi bersendirian tanpa berkongsi dengan sesiapa pun...

Kecuali Dia yang sentiasa mendengar rintihanku…

Bukan aku tidak menghargai insan lain dalam hidupku, cuma aku tidak mampu meluahkan setiap kesedihan dan kepedihanku kepada sesiapa…

Aku juga tahu aku mungkin kehilangan insan lain lagi selepas ini, dan kerana itu aku cuba menghargai setiap detik waktu aku bersama mereka, aku cuba belajar membuat mereka bahagia…

Denai hati yang terpalit secebis kenangan bersamanya….

No comments:

Post a Comment